Blog

Pengenalan Dan Konsep

   Sekolah Pemimpin Muda diwujudkan dengan matlamat menggerakkan agenda pendidikan kewarganegaraan dan pemasyarakatan nilai demokrasi yang berteraskan keluhuran perlembagaan dan Islam sebagai agama kehidupan. Ia berfungsi sebagai pusat penyelidikan, pendidikan dan latihan dalam bidang kepimpinan untuk memberi kefahaman erti demokrasi, ekonomi, pendidikan dan membincangkan isu siasah shar’iyyah dan kewarganegaraan. 

       Sasaran sekolah tersebut adalah anak-anak muda yang berminat untuk menceburkan diri dalam kepimpinan dan mahu meningkatkan ilmu dalam bidang siasah. Berbeza dengan seminar atau kursus kepimpinan yang dilakukan oleh pertubuhan lain, Sekolah Pemimpin Muda mengambil pendirian mahu menggabungkan elemen siasah dan tarbiyyah untuk menyediakan generasi masa depan yang mempertahankan prinsip keadilan dan kebenaran bertunjangkan kesedaran agama yang kuat. Masyarakat harus dididik supaya lebih rasional dan lebih bijak terutama dalam menghadapi isu-isu yang sensitif. Ini penting demi keharmonian hidup, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.


            Justeru, demokrasi harus difahami bukan hanya semata-mata proses pilihan raya. Demokrasi bukan hanya amalan tetapi mempunyai prinsip dan nilai yang perlu dipertahankan. Ini perlu ditanam dalam diri warga masyarakat melalui pendidikan berterusan agar mereka benar-benar menjadi warganegara yang efektif (effective citizen). Mendepani zaman mendatang dengan kepelbagaian cabaran, tribulasi dan pembaharuan, pembinaan warganegara yang efektif adalah suatu keperluan. Mereka adalah warganegara yang sedar dan prihatin, sedia melaksanakan tanggungjawab serta mampu mempertahankan hak mereka sebagai warganegara Malaysia yang demokratik.


           Asas kepada pembentukan ‘effective citizen’ in perlu berteraskan kepada ajaran Islam serta mengiktiraf kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Bagi memenuhi aspirasi tersebut, tujuan Sekolah Pemimpin Muda ini untuk meratakan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai pendidikan kewarganegaraan, kefahaman prinsip demokrasi dan hak-hak serta tanggungjawab rakyat dan pemimpin. Diharapkan melalui usaha ini, rangkaian program pencerdasan umat dapat diratakan sehingga ke dasar akar umbi memupuk warganegara efektif, yang berupaya menyumbang dalam membangun sebuah masyarakat dan negara yang demokratik, adil dan sejahtera.

0 comments: