Blog

LAPORAN PROGRAM


Dalam usaha membangunkan pemimpin muda yang cakna dengan isu semasa, telah diadakan Bengkel Latihan Sekolah Pemimpin Muda (SEKPIM) bertempat di Kompleks Biro Wanita, Kuching pada 13-15 Disember  2013 yang lepas. Seramai 30 orang anak muda daripada pelbagai institusi dan latar belakang yang berbeza telah berkampung selama 3 hari 2 malam disana. Program ini memfokuskan tentang pendidikan demokrasi dan kewarganegaraan berbentuk latihan. Objektif program ini ialah untuk menjelaskan peranan yang boleh dimainkan oleh peserta ke arah membangun sebuah masyarakat dan negara yang demokratik, adil dan sejahtera.


Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengukuhkan kerangka kefahaman individu terhadap isu semasa disamping mensinergikan bidang siasah dan tarbiyyah dalam diri peserta. Pengisiannya tertumpu kepada pemahaman dan latihan seperti “Gelagat Organisasi” sebagai pendedahan kepada realiti sebenar hidup dalam sebuah negara demokratik. Pengisian program ini disampaikan oleh 2 orang Trainer iaitu Ustaz Husaini Hamdan selaku Pengetua SEKPIM dan Muhd Afiq Asyraf, Felo Eksekutif SEKPIM. Program ini dibahagikan kepada beberapa slot antaranya “Apa Itu Demokrasi”. Dalam slot ini, peserta didedahkan dengan makna demokrasi dan prinsip serta nilai yang perlu dipertahankan.

Ustaz Husaini Hamdan pula menyampaikan slot bertajuk “How to Deliver a Good Speech” dalam program kali ini. Beliau memberi tunjuk ajar cara-cara berucap di khalayak ramai dan bagaimana mahu berucap gaya pemimpin dunia. Video contoh pemimpin dalam dan luar negara ditayangkan kepada peserta. Kemudian, peserta diberikan tugas untuk berucap di dihadapan seolah-olah berucap di hadapan ribuan rakyat mengikut tajuk yang diberikan. Dengan pengalaman yang beliau ada, sekaligus dapat membantu peserta memahami gaya pengucapan seorang pemimpin negara. 

Selain itu peserta juga didedahkan dengan prosiding parlimen dalam slot “Sidang Dewan Rakyat” dimana mereka akan terlibat dalam perdebatan dalam sesuatu isu mengikut amalan Dewan Rakyat sebenar. Pelbagai gelagat dapat dilihat antaranya bagaimana peserta harus mempertahankan hujah mereka dan menangkis hujah lawan. “Kekecohan” tersebut telah dapat ditenangkan oleh “Yang Di-Pertua Dewan” selaku pengerusi sidang tersebut. Slot ini telah mencungkil bakat kemahiran berucap dalam diri peserta serta merasai sendiri pengalaman menjadi “Yang Berhormat”.

Di akhir sesi, peserta didedahkan dengan sesi sidang akhbar sebagaimana yang dilakukan oleh para pemimpin. Mereka akan diberikan beberapa isu yang berlaku mutakhir ini dan harus menyatakan pendirian tentang isu tersebut. Mereka juga harus berhadapan dengan “wartawan” yang akan bertanyakan tentang isu tersebut selain soalan-soalan kontroversi. Ini sebagai pendedahan sebenar kehidupan pemimpin dan cara-cara yang betul berhadapan dengan wartawan suatu hari kelak.

Selain itu, program ini juga memfokuskan elemen kerohanian seperti bacaan zikir Al-Ma’thurat serta kuliah Subuh dan Maghrib yang disampaikan oleh penceramah jemputan antaranya Ustaz Jahidin Abdul Latif, Ustaz Suharman Edward dan Saudara Zulrusdi Mohamad Hol. Ini bertujuan untuk melahirkan pemimpin di masa depan yang berani memperjuangkan mempertahankan prinsip keadilan dan kebenaran bertunjangkan kesedaran agama yang kuat.
Majlis penutupan berakhir dengan ucapan Pengetua SEKPIM dan penyampaian sijil. Diharapkan melalui usaha ini, rangkaian program pencerdasan umat dapat diratakan sehingga ke dasar akar umbi memupuk warganegara efektif, yang berupaya menyumbang dalam membangun sebuah masyarakat dan negara yang demokratik, adil dan sejahtera. Semoga dengan penganjuran program ini mampu menyumbang ke arah penyelesaian daripada timbunan masalah yang berlaku di Bumi Kenyalang ini.

0 comments: